Home Artikel Hakikat Kenabian dan Semua Makhluk Memerlukannya

Hakikat Kenabian dan Semua Makhluk Memerlukannya

1902
0

Oleh : Imam Ghazali

 Ketahuilah bahwa asal fitrah jauhar manusia itu dijadikan amat sederhana dan bersahaja, tak tahu apapun mengenai ilmu yang dijadikan Allah Taala.  Banyaknya ilmu hanya Allah juga (yang) tahu, seperti firmannya:

وَمَا يَعْلَمُ جُنُودَ رَبِّكَ إِلَّا هُوَ

“Tiadalah yang mengetahui bala tentera Tuhanmu melainkan Dia sendiri.” (Surah al Muddathir: 31).

1. Pancaindera dan mumayyiz:

 Manusia mengetahui alam melalui tanggapannya (perception). Tiap-tiap satu dari tanggapan itu telah dijadikan supaya manusia dapat menjangkau alam segala yang ada (alam al maujudat). Segala alam yang kami maksudkan ialah segala ‘jenis benda’ yang ada. Pertama manusia mempunyai deria (alat indera) sentuh.Dengan deria ini manusia menanggap segala benda yang ada seperti panas, sejuk, lembab, kering, lembut, kasar dan lainnya. Deria sentuh tidak dapat menanggap warna dan suara. Ditinjau dari hakikat warna dan suara maka seolah-olah deria sentuh itu tidak ada sama sekali.

 Allah juga menjadikan untuk manusia deria penglihatan.  Dengan deria ini manusia menanggap segala bentuk dan rupa.  Di antara alam yang boleh ditanggap oleh pancaindera, alam deria penglihatanlah yang lebih luas sekali.

 Kemudian ditiupkan deria pendengaran.  Dengan deria ini manusia mendengar segala suara dan nada serta getaran irama.

 Kemudian Allah jadikan pula deria perasa atau kecapan. (Deria ini yang merasai cili pedas dan gula itu manis).

 Bila meningkat umur tujuh tahun manusia dapat mengatasi alam pancaindera dengan daya membeza (tamyiz) menimbang dan berhati-hati. (Dikatakan anak itu sudah mumayiz). Dengan ini ia meningkat ke satu tahap peralihan dalam hayatnya. Ia boleh menganggap perkara yang di luar dari lingkungan alam pancainderanya yang selama ini tidak dapat dijangkau.

2. Sumber Akal

 Kemudian ia meningkat pula ke tahap peralihan yang lebih tinggi, iaitu tahap ia dianugerahkan akal. Dengan akal ia boleh menganggap perkara yang wajib, yang mustahil dan yang harus. Sekarang ia boleh (bisa) mengalami perkara-perkara yang tak mungkin dialaminya di tahap-tahap yang lalu.

 3.  Sumber Wahyu

 Di sebalik tahap akal ada satu tahap lagi.  Di tahap ini terbukalah untuknya daya yang membolehkan melihat benda-benda yang ghaib, meramal apa-apa yang akan berlaku, dan mengetahui segala perkara yang ada di luar lingkungan daya tanggapan akal. Misalnya daya membeza tak dapat menanggap alam tanggapan akal, dan daya pancaindera tidak dapat menanggap alam tanggapan daya membeza.

 Sebagaimana anak yang baru mumayiz menolak dan menafikan adanya segala tanggapan akal, begitulah juga ada di antara orang yang berakal menolak dan menafikan adanya tanggapan kenabian.  Sebenarnya ia orang jahil yang belum ada pegangan dan tahap itu belum tiba untuknya. Sepatutnya ia tidak berhak mencampuri perkara ini. Tanpa menyedari kelemahannya, dengan megah ia menyangka kenabian itu tak ada.  Orang ini boleh diumpamakan buta sejak lahirnya. Sepanjang hayatnya ia tidak pernah diberitahu dan tidak pernah mendengar secara teratur apakah warna dan rupa buat pertama kalinya, si buta itu terus menentang dengan mengatakan warna dan rupa itu sebenarnya tidak ada sama sekali.

 Allah Taala memberi pengertian yang mudah tetang hakikat wahyu kenabian kepada manusia dengan bercontohkan mimpi.  Orang tidur dapat menanggap apa yang akan berlaku di alam ghaib. Tanggapan ini sama ada dengan gambaran yang jelas, terbuka dan tanpa memerlukan apa-apa ta’bir atau tafsiran, atau dengan gambaran yang tertutup yang perlu dibukakan dengan jalan ta’bir. Andainya ada orang yang tak pernah mengalami mimpi seperti itu, kepada orang ini diberitahu bahawa ada seorang hamba Allah yang jatuh pengsan seperti mati, tidak sedarkan diri, tidak mendengar dan tidak melihat.  Tiba-tiba ia sedar dari pengsannya lalu menceritakan bahawa dalam masa ia tidak sedarkan diri tadi ia melihat dan menanggap benda-benda alam ghaib. Berita seperti ini tentulah tidak diterima oleh orang yang tak pernah mengalami peristiwa mimpi tadi, dan ia akan mengemukakan alasan-alasan tentang orang pengsan mustahil boleh menanggap perkara ghaib. Katanya,”Daya pancaindera itulah sumber tanggapan akal. Kalau pancaindera orang siuman tidak dapat menanggap satu apapun dari perkara ghaib apatah lagi orang pengsan masakan ia mampu menanggap perkara-perkara seperti itu.”

 Kiasan ini salah kerana ia bertentangan dengan apa yang sebenarnya berlaku dan boleh disaksikan atau dialami. Kalau akal merupakan suatu tahap peralihan dalam hidup manusia yang membolehkan manusia menanggap perkara yang ma’qulat (seperti wajib, mustahil dan harus) dan kalau pancaindera juga tak berdaya menanggap ma’qulat ini, begitulah juga kenabian merupakan suatu tahap yang membolehkan seseorang memperolehi pancutan cahaya.  Menerusi cahaya ini ia boleh melihat perkara-perkara ghaib dan perkara-perkara yang tak dapat ditanggap oleh akal.

 Bukti-bukti Kenabian (Nubuwwah)

 Orang meragui kenabian dari segi: sama ada ia mungkin berlaku, memang ada dan berlaku, atau berlaku khas untuk orang tertentu sahaja.  Apakah bukti kenabian itu mungkin berlaku? Apakah dalil ia memang berlaku? Apakah bukti adanya itu?

 Bukti tentang kemungkinan dan memang adanya kenabian ialah adanya pengetahuan dalam dunia ini yang tak dapat digambarkan bagaimana boleh dicapai dengan akal, seperti pengetahuan mengenai perubatan dan astronomi (kaji bintang). Sesiapa yang merenungi pengetahuan seperti ini mahu tidak mahu ia terpaksa mengaku bahawa pengetahuan datang daripada ilham dan taufiq daripada Allah subhanahu wataala. Tak mungkin ilmu ini diperolehi hasil daripada uji kaji. Contohnya, setengah daripada fenomenon astronomi hanya berlaku sekali sahaja dalam masa seribu tahun. Bagaimanakah uji ini boleh diketahui hasil daripada uji kaji? Demikianlah juga khasiat ubat-ubatan.

 Dari burhan ini jelaslah kepada kita bahawa di sana memang ada jalan lain bagi mendapatkan pengetahuan selain daripada jalan tanggapan akal.  Inilah yang dimaksudkan dengan “kenabian”.  Maka kenabian itu bukanlah sekali-kali merupakan semata-mata satu ungkapan mengenai ilmu seperti itu.  Mendapat pengetahuan seperti ini merupakan satu daripada beberapa keistimewaan kenabian.  Selain dari ini ada banyak lagi keistimewaan yang lain.  Contoh yang kami sebutkan itu hanyalah setitik air dari sebuah lautan.  Kami bentangkan contohkan ini kerana andapun mengalaminya sama, diantaranya ialah penglihatan dalam tidur.  Anda juga mempunyai pengetahuan dari jenis seperti sains perubatan dan astronomi.  Contoh-contoh seperti ini termasuk dalam golongan mukjizat para nabi yang tidak terjangkau oleh tanggapan akal sama sekali.

 Zauq Tasawuf

 Keistimewaan kenabian selain daripada apa yang tersebut di atas boleh ditanggap dengan zauq tasawuf.  Anda sudah memahaminya dengan berpandukan pengalaman yang didapati dalam tidur itu.  Tanpa contoh ini, tak ada jalan lain bagi anda hendak mempercayainya. Sekiranya bagi seorang nabi ada keistimewaan yang tak dapat diberikan contoh untuk diperbandingkan maka bagaimana anda dapat memahaminya. Apatah lagi hendak mempercayainya, kerana sebelum mempercayai sesuatu itu terlebih dahulu mestilah dapat dipahami.

 Contoh-contoh yang dialami tersebut boleh didapati pada peringkat-peringkat permulaan menjalani amalan tasawuf.  Maka dirasakan ada suatu jenis zauq menurut kadar yang diperolehi, dan ada suatu jenis tasdiq (percaya) akan kadar yang tak diperolehi.  Keistimewaan tunggal  inipun sudah mempunyai penilaian yang cukup bagi anda untuk beriman dengan asal al-Nubuwwah atau sumber kenabian.

 Cara Mengenal Nabi

 Jika anda meragukan seseorang, sama ada nabi atau bukan, anda boleh menelitinya tandanya dengan jelas, daripada yang anda lihat lihat akan sikap atau tindak-tanduknya, sama ada dengan menyaksikan sendiri atau dengan riwayat mutawatir atau mendengar kata-kata mereka.  Jika anda mengenali sains perubatan atau perundangan (fikah/fiqh), dengan mudah anda mengenali ahli-ahli perubatan dan ahli-ahli perundangan (fuqaha’) dengan jalan menyaksikan tindak tanduk mereka mengendalikan ilmu dan menunjukkan keahliannya dalam bidang masing-masing. Atau cukup dengan mendengar ungkapan-ungkapan mereka jika anda tidak berpeluang melihat mereka dengan mata kepala sendiri. Bukankah dengan mudah saja anda mengetahui bahwa Imam al Syafie rahimahullah seorang ahli fikah dan Galen (Jalinus) adalah seorang ahli perubatan Greek tanpa diragui lagi, walaupun anda tidak berpeluang melihat sendiri peribadi dua tokoh ini.  Bagaimana anda mengenal sendiri sebagai satu kenyataan kerana anda berpengetahuan dalam Ilmu Fiqh dan perubatan serta membaca buku karangan Galen dan Imam Syafie maka dengan pasti anda dapat mengenali sendiri siapakah orang berdua ini.

 Begitulah juga jika anda faham erti kenabian. Banyakkanlah membaca Qur’an dan Hadith, maka dengan sendirinya anda dapat tahu bahawa Nabi Muhammad saw berada di martabat paling tinggi dalam pangkat kenabian.  Keyakinan anda terhadapnya akan bertambah dengan mengamalkan sabdanya mengenai ibadat. Kesan amalan ini boleh menyucikan hati, seperti yang anda rasakan sendiri. Maka alangkah benar sabdanya yang berbunyi,”Sesiapa yang mengamalkan ilmu yang ia tahu, Allah mempesakainya dengan ilmu yang selama ini ia tidak tahu.”

 Alangkah benar sabdanya yang berbunyi,”Sesiapa menolong si zalim, nescaya Allah berikan si zalim itu kuasa ke atas orang yang menolongnya itu.” (Sesiapa lepaskan anjing tersepit, nescaya digigitnya). Dan alangkah benar sabdanya,”Sesiapa yang memulakan pagi harinya dengan kebimbangan yang satu (iaitu taqwa), nescaya Allah Taala akan memeliharanya dari segala kebimbangan dunia dan akhirat.”

 Jika anda amalkan sabdanya itu seribu, dua ribu, dan beribu-ribu kali, anda akan memperolehi pengetahuan yang pasti yang tak boleh dipertikaikan lagi.

 Mukjizat Nabi

 Itulah jalan yang mesti anda ikuti untuk meyakini bahawa kenabian adalah benar.  Jangan ikuti jalan “tongkat menjadi ular” dan “bulan berbelah”. Jika anda melihat peristiwa mukjizat semata-mata, tanpa memerhatikan tanda-tanda lain yang tak terkira banyaknya, mungkin anda menyangkanya suatu perbuatan sihir atau silap mata yang menyesatkan, kerana bahawasanya

يُضِلُّ مَنْ يَشَاءُ وَيَهْدِي مَنْ يَشَاءُ

“Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakinya dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya.” (Surah Fathir 8)

 Mengenai masalah mukjizat: jika iman anda berlandaskan kepada kata-kata yang tersusun yang merupakan hujah akal menyokong mukjizat, maka iman anda akan luntur bila hujah akal juga menentang akan kebenaran mukjizat itu. Maka jadikanlah peristiwa-peristiwa luar biasa ini hanya sebagai salah satu dari sekian banyak dalil dan bukti yang menguatkan keyakinan anda, hingga tercapailah pengetahuan yakin (ilm ad daruri) tentang kenabian. Jangan anda tentukan satu dalil yang tertentu sahaja untuk dijadikan pegangan.  Seperti khabar mutawatir yang disampaikan secara beramai-ramai, anda tak berhak untuk menentukan bahawa seorang pemberi sahaja yang meyakinkan aku.  Bukannya datang dari luar kumpulan tersebut dan bukan jua dari individu tertentu, tapi dari ramai-ramai semuanya maka itulah iman yang kuat.

 Manakala zauq sama nilainya dengan musyahadah (penyaksian) dan terus menjadi pegangan.  Perkara seperti ini hanya terdapat dalam tasawuf.

 Apa yang disebutkan di atas tentang hakikat kenabian, cukuplah untuk menyampaikan tujuan yang aku (Imam al Ghazali) maksudkan sekarang. Akan aku sebutkan lagi tentang kenabian ini kerana memang diperlukan.

 

Sebab-Sebab Aku Kembali Mengajar Selepas Menarik Diri Sekian Lama

 Hasil Sepuluh Tahun Beruzlah

 Hampir sepuluh tahun lamanya aku hidup beruzlah dan berkhalwah.  Dalam tempoh yang demikian lama ternyatalah kepadaku –dari pelbagai sebab yang tiada kubilangkan, seperti dengan zauq, ilmu, burhan dan penerimaan iman—bahawa manusia itu terjadi daripada badan dan hati.  Hati yang kumaksudkan ialah hakikat roh, iaitu tempat makrifat Allah. Bukannya seketul daging dan darah yang ada pada manusia hidup, manusia mati dan haiwan.  Badan yang sihat itulah kebahagiaan, dan badan yang sakit itulah celakanya.  Hati pun juga begitu : ada hati yang sihat dan selamat.  Tiada seorang pun yang terselamat:

إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

“Kecuali orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera” (Surah al-Syu’ara 89)

 Ada pula hati yang berpenyakit dan itulah celakanya yang abadi di akhirat, seperti firman Allah Taala,

فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ

“Dalam hati mereka ada penyakit.” (Surah al Baqarah 10).

 Jahil terhadap Allah adalah racun yang membinasakan.  Melanggar perintah Allah dengan mengikutkan hawa nafsu itulah penyakit yang amat menyakitkan. Mengenal (makrifat) Allah itulah penawar segala yang bisa.  Patuh kepada perintahnya, dengan melawan hawa nafsu, itulah ubat yang mujarab. Tak ada jalan untuk memulihkan hati yang sakit kecuali dengan ubat.  Bagi badan yang berpenyakit pun begitulah jua memerlukan benda yang sama, iaitu ubat yang berkhasiat yang boleh memulihkan kesihatan badan.  Tapi bukan semua orang mengetahui khasiat ubat.  Hanya ahli perubatan saja yang tahu.  Mereka mengambil ubat daripada nabi-nabi yang mengetahui khasiat segala benda melalui khasiat kenabian mereka. Maka demikianlah seterusnya ternyata kepadaku, tanpa diragui bahawa ubat-ubat segala ibadat –dengan ketentuan dan sukatannya yang tertentu yang ditentukan oleh para nabi—kesannya bukan boleh (bisa) ditanggap oleh sebarang akal manusia biasa.  Malahan mereka wajib bertaklidkan para nabi, kerana mereka sahajalah yang dapat menanggapi khasiat-khasiatnya itu melalui cahaya kenabian, bukan dengan melalui akal yang sebarangan.

 Sebagaimana ubat merupakan suatu adunan daripada campuran berbagai ramuan, kadar dan sukatan yang berbeza-beza, tiap-tiap satu ramuan itu tidak sama dengan yang lain: ada ramuan yang dimasukkan ke dalam bancuhan itu sebanyak dua kali ganda berat dan sukatannya dan sebagainya.  Perbezaan kadar sukatan ini tentulah mempunyai rahsia yang hanya diketahui oleh orang yang ahli dalam perkara ini semata-mata.  Demikian jua halnya segala ibadat, yang menjadi ubat bagi penyakit hati, tersusun dari bermacam-macam campuran dan berbagai-bagai perbuatan, pergerakan gaya dan bermacam-macam ketentuan.  Sujud umpamanya melipatgandakan rukuk.  Sembahyang subuh setengah dari jumlah rakaat asar.  Semuanya ini mengandungi rahsia yang hanya untuk khawas menyelami rahsia ini berpandukan cahaya kenabian semata-mata. Akal tidak dapat menjalankan peranannya disini.  Orang yang cuba menghuraikannya dengan akal atau menyangka rahsia itu telah dapat dihuraikan oleh ulama sehingga ia percaya bahawa tiada rahsia ketuhanan lagi yang perlu diterangkan oleh Khasiat Kenabian, adalah orang jahil murakkab. Kalau dalam ubat terdapat bahan utama untuk membanteras punca penyakit dan terdapat juga bahan sampingan untuk mempercepatkan pemulihan dan kesihatan badan, begitulah jua dalam ibadat.  Perkara yang sunat dan nawafil merupakan perkara sampingan bagi melenkap dan mengukuhkan lagi segala rukun dan syarat amal ibadat.

 Pendek kata, para nabi adalah dokter pakar jiwa.  Manakala akal memainkan peranan untuk memperkenalkan kita kepada para doktor itu.  Akal boleh menyaksikan betapa benar dan tasdiqnya kenabian dan terpaksa mengakui bahawa akal itu tidak berdaya untuk menanggap apa yang boleh dijangkau oleh cahaya kenabian.  Akal menyerahkan kita pada kenabian, seperti kita memimpin si buta untuk diserahkan kepada pemandu, atau seperti menyerahkan pesakit yang sakit tenat kepada doktor yang bertimbang rasa.  Sampai disinilah sahaja peranan yang dapat dijalankan oleh akal. Di luar sempadan ini akal tak boleh berbuat apa-apa, selain daripada memahami kata-kata yang diucapkan oleh dokter itu kepadanya. * (Dari buku : Penyelamat dari Kesesatan/al Munqidz minadh Dhalal)

 

Leave a Reply